JDT Rancang Atur Aksi Pra-Musim Di Arab Saudi
Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usaha bagi mengatur aksi jelajah pra-musim di Arab Saudi.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor setelah melihat pencapaian demi pencapaian hebat diraih oleh pasukan Baginda.
Baru-baru ini, laman bola sepan terkemuka, Opta Analyst telah meletakkan JDT pada kedudukan ke-8 Asia dengan 80.0 mata (245 di dunia) berdasarkan kemas kini semasa.
Peningkatan ini membolehkan JDT memintas 3 buah kelab gergasi Jepun (J-League), Kashima Antlers (9), Kawasaki Frontale (10) dan juga Yokohama FM yang menghuni tangga ke-11 Asia.
Oleh itu, salah seorang pengguna laman X mencadangkan kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail agar skuad Harimau Selatan ini beradu tenaga bersama kelab di Arab Saudi.
”DYAM Tunku Mahkota Ismail, atur jelajah pra-musim ke Arab Saudi. JDT dah hampir setaraf kelab terbaik di sana dah,” cadang asyraf di laman X.
Cadangan tersebut telah disambut baik oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail yang menjelaskan aksi pra-musim ke Arab Saudi berada dalam perancangan pengurusan kelab JDT ketika ini.
”(Pra-musim ke Arab Saudi) memang dah ada dalam perancangan,” balas DYAM Tunku Mahkota Ismail.
Untuk rekod, JDT sebelum ini telah menjalani aksi pra-musim di Sepanyol dan mengharungi 7 aksi persahabatan dari kelab divisyen dua hingga divisyen keenam negara itu.
Selain Sepanyol, juara Liga Super 10 kali berturut-turut ini juga pernah mengadakan jelajah pra-musim di Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada musim 2020 hingga 2023 yang lalu.
Post Comment
No comments